Nabi Zakaria, ayahnya Nabi Yahya sedar dan mengetahui bahawa
anggota-anggota keluarganya, saudara-saudaranya, sepupu-sepupunya dan anak-anak
saudaranya adalah orang-orang jahat Bani Israil yang tidak segan-segan
melanggar hukum-hukum agama dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa
keagamaan mereka belum meresap betul didalam hati mereka, sehingga dengan mudah
mereka tergoda dan terjerumus ke dalam lembah kemungkaran dan kemaksiatan. Ia
khuatir bila ajalnya tiba dan meninggalkan mereka tanpa seorang waris yang
dapat melanjutkan pimpinannya atas kaumnya, bahawa mereka akan makin rusak dan
makin berani melakukan kejahatan dan kemaksiatan bahkan ada kemungkinan mereka
mengadakan perubahan-perubahan di dalam kitab suci Taurat dan menyalah-gunakan
hukum-hukum agama.
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria disamping
rasa sedih hatinya bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia sembilan puluh
tahun, Tuhan belum mengurniakannya dengan seorang anak yang ia idam-idamkan
untuk menjadi penggantinya memimpin dan mengimami Bani Isra’il. Ia agak
terhibur dari rasa sedih dan kekhuatirannya semasa ia bertugas memelihara dan
mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai anak kandungnya sendiri. Akan
tetapi rasa sedihnya dan keinginanya yang kuat untuk memperolhi keturunan
tergugah kembali ketika ia menyaksikan mukjizat hidangan makanan dimihrabnya
Maryam. Ia berfikir didalam hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil di dalam
kekuasaan Allah. Allah yang telah memberi rezeki kepada Maryam dalam keadaan
seorang diri tidak berdaya dan berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan
bila Dia kehendaki walaupun usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah penuh
uban.
Pada suatu malam yang sudah larut duduklah Zakaria di
mihramnya menghiningkan cipta memusatkan fikiran kepada kebesaran Allah seraya
bermunajat dan berdoa dengan khusyuk dan keyakinan yang bulat. Dengan suara
yang lemah lembut berucaplah ia dalam doanya: “Ya Tuhanku berikanlah aku
seorang putera yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian dari keluarga
Ya’qub, yang akan meneruskan pimpinan dan tuntunanku kepada Bani Isra’il. Aku
khuatir bahawa sepeninggalanku nanti anggota-anggota keluargaku akan rusak
kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan mati tanpa seorang pemimpin yang
akan menggantikan aku. Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi lemah dan kepalaku
telah dipenuhi uban sedang isteriku adalah seorang perempuan yang mandul namun
kekuasaan-Mu adalah diatas segala kekuasaan dan aku tidak jemu-jemunya berdoa
kepadamu memohon rahmat-Mu mengurniai kau seorang putera yang soleh yang engkau
redhai.”
Allah berfirman memperkenankan permohonan Zakaria: “Hai
Zakaria Kami memberi khabar gembira kepadamu, kamu akan memperoleh seorang
putera bernama Yahya yang soleh yang membenarkan kitab-kitab Allah menjadi
pemimpin yang diikuti bertahan diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan serta
akan menjadi seorang nabi.”
Berkata Zakaria: “Ya Tuhanku bagaimana aku akan memperolehi
anak sedangkan isteri adalah seorang perempuan yang mandul dan aku sendiri
sudah lanjut usianya.”
Allah menjawab dengan firman-Nya: “Demikian itu adalah suatu
hal yang mudah bagi-Ku. Tidakkah aku telah ciptakan engkau padahal engkau di
waktu itu belum ada sama sekali?”
Berkata Zakaria: “Ya Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda
bahawa isteri aku telah mengandung.” Allah berfirman: “Tandanya bagimu bahawa
engkau tidak dapat berkata-kata dengan manusia selama tiga hari berturut-turut
kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah nama-Ku sebanyak-banyaknya serta
bertasbihlah diwaktu petang dan pagi hari.”
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan oleh
Al-Quran kecuali bahawa ia diberi ilmu dan hikmah selagi ia masih kanak-kanak
dan bahawa ia seorang putera yang berbakti kepada kedua ora ng tuanya dan
bukanlah orang yang sombong durhaka. Ia terkenal cerdik pandai, berfikiran
tajam sejak ia berusia muda, sangat tekun beribadah yang dilakukan siang dan
malam sehingga berpengaruh kepada kesihatan badannya dan menjadikannya kurus
kering, wajahnya pucat dan matanya cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai
soal-soal keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat bertanya
tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki keberanian dalam mengambil sesuatu
keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula menghiraukan ancaman pihak
penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran dan melawan kebathilan.
Ia selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar
bertaubat dari dosanya. Dan sebagai tanda taubatnya mereka dipermandikan {
dibaptiskan } di sungai Jordan, kebiasaan mana hingga kini berlaku di kalangan
orang-orang Kristian dan kerana Nabi Yahya adalah orang pertama yang
mengadakan upacara itu, maka ia dijuluki “Yahya Pembaptis”.
Dikisahkan bahawa Hirodus Penguasa Palestin pada waktu itu
mencintai anak saudaranya sendiri bernama Hirodia, seorang gadis yang cantik,
ayu, bertubuh lampai dan ramping dan berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis
berserta ibunya dan seluruh anggota keluarga menyentujui rencan perkahwinan
itu, namun Nabi Yahya menentangnya dan mengeluarkan fakwa bahawa perkahwinan itu
tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan syariat Musa yang
mengharamkan seorang mengahwini anak saudaranya sendiri.
Berita rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa
Nabi Yahya yang melarangnya tersiar di seluruh pelosok kota dan menjadi pembicaraan orang di segala
tempat di mana orang berkumpul. Herodia si gadis cantik calon isteri itu merasa
sedih bercampur marah terhadap Nabi Yahya yang telah mengeluarkan fatwa
mengharamkan perkahwinannya dengan bapa saudaranya sendiri, fatwa mana telah
membawa reaksi dan pendapat dikalangan masyarakat yang luas. Ia khuatir bahawa
bapa saudaranya Herodus calon suami dapat terpengaruh oleh fatwa Nabi Yahya itu
dan terpaksa membatalkan perkahwinan yang sudah dinanti-nanti dan
diidam-idamkan, bahkan bahkan sudah menyiapkan segala sesuatu berupa pakaian
mahupun peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan reaksi masyarakat itu,
Herodia tidak tinggal diam. Ia berusaha dengan bersenjatakan kecantikkan dan
parasnya yang ayu itu mempengaruhi bapa saudaranya calon suaminya agar rencana
perkahwinan dilaksanakan menurut rencana. Dengan merias diri dan berpakaian
yang merangsang, ia pergi mengunjungi bapa saudaranya Herodus yang sedang
dilanda mabuk asmara .
Bertanya Herodus kepada anak saudaranya calon isterinya yang nampak lebih
cantik daripada biasa : “Hai manisku, apakah yang dapat aku berbuat untukmu.
Katakanlah aku akan patuhi segala permintaanmu, kedatanganmu kemari pada saat
ini tentu didorong oleh sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau sampaikan
kepadaku. Sampaikanlah kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku, aku sedia
melayani segala keperluan dan keinginanmu.”
Herodia menjawab: “Bila Tuan Raja berkenan, maka aku hanya
mempunyai satu permintaan yang mendorongku datang mengunjungi Tuanku pada saat
ini. Permintaanku yang tunggal itu ialah kepala Yahya bin Zakaria orang yang
telah mengacau rencana kita dan mencemarkan nama baik Tuan Raja dan namaku
sekeluarga di segala tempat dan penjuru. Supaya dia dipenggal kepalanya.
Alangkah puasnya hatiku dan besarnya terima kasihku, bila Tuanku berkenan
meluluskan permintaanku ini”.
Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan hatinya oleh
kecantikan dan keelokan Herodia tidak berkulik menghadapi permintaan calon
isterinya itu dan tidak dapat berbuat selain tunduk kepada kehendaknya dengan
mengabaikan suara hati nuraninya dan panggilan akal sihatnya. Demikianlah maka
tiada berapa lama dibawalah kepala Yahya bin Zakaria berlumuran darah dan
diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang tersenyum tanda gembira dan
puas hati bahawa hasratnya membalas dendam terhadap Yahya telah terpenuhi dan
rintangan utama yang akan menghalangi rencana perkahwinannta telah
tersingkirkan, walaupun perbuatannya itu menurunkan laknat Tuhan atas dirinya,
diri rajanya dan Bani Isra’il seluruhnya.
Cerita tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas dikisahkan
oleh Al-Quran, surah Maryam ayat 2 sehingga ayat 15, surah Ali Imran ayat 38
senhingga ayat 41 dan surah Al-Anbiya’ ayat 89 sehingga ayat 90.
demikian kisah Nabi Yahya AS semoga
bermanfaat.